IPOH – Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil mengesahkan dirinya tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU-14.

Alasan diberikan beliau, Sungai Besar mempunyai ramai calon tempatan yang berpotensi untuk dipilih sebagai calon.

“Saya amat terharu dengan pelawaan yang dibuat tetapi saya sudah berbincang dengan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar (Datuk Seri Jamal Md Yunos) saya tidak akan turun ke Sungai Besar sebagai calon.

“Saya selaku Ketua Wanita perlu bertanggungjawab, selepas meneliti senario di sana, Sungai Besar mempunyai ramai calon tempatan jadi gunakan kesempatan itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita dan Puteri Barisan Nasional (BN) Perak, di sini pada Sabtu.

Beliau juga berkata perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada Jamal serta jawatankuasa bahagian terbabit.

“Saya telah berbincang panjang dengan beliau (Jamal) dan menghargai peluang yang diberikan tetapi saya tidak menerimanya dan saya juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri.

“Tetapi apapun Sungai Besar tetap di hati saya, walau siapa calon yang mereka akan pilih nanti saya akan berikan sokongan penuh,” ujarnya.

Baru-baru ini, Jamal telah mengalu-alukan kehadiran Ketua Wanita UMNO itu untuk bertanding di parlimen berkenaan.

Katanya, perbincangan sudah pun dilakukan tetpai bukan secara rasmi di peringkat bahagian.