PETALING JAYA: Keputusan ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan menteri kerja raya secara mengejut berkuat kuasa hari ini ia tidak menjejaskan kedudukan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan.

Menerusi surat peletakan jawatan Shahrudin, beliau kekal berada di kerusi “backbenchers” PN.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri (Muhyiddin Yassin) yang telah memberi peluang kepada saya untuk berada di dalam Kabinet YAB Tan Sri.

“Saya masih kekal duduk di kerusi ‘backbenchers’ Perikatan Nasional,”katanya.

Sementara itu, pegawai Shahruddin ketika dihubungi memaklumkan bahawa bosnya itu masih berada di blok ahli Parlimen PN dengan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Beliau masih berada di barisan kerajaan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Beliau juga tidak berada bersama Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang,” katanya

Terdahulu hari ini, Shahruddin dalam kenyataan berkata, beliau membuat “ijtihad politik” yang kurang tepat ketika menyertai kerajaan PN, sebaliknya seharusnya memberi keutamaan kepada pengundi di kawasan Parlimennya.

“Saya seharusnya meletakkan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi di Parlimen Sri Gading sudah memilih Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14.

“Sebagai langkah awal bagi membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Isnin lepas Shahruddin menyuarakan harapan supaya Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berdamai bagi menguatkan semula PPBM.