PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Lembaga Bank Rakyat berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata keputusan itu dibuat selaras dengan Seksyen 5 dan sub perenggan 2(2) Jadual Pertama Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 [Akta 202] berikutan pembabitan Shukry dalam Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Justeru, apa-apa keputusan yang memberi implikasi kepada Bank Rakyat yang dibuat sepanjang Tan Sri Shukry menjadi Pengerusi Lembaga Bank Rakyat akan disemak semula dan dibatalkan sekiranya menjejaskan kepentingan Bank Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, beliau akan mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Bank Rakyat yang baharu sebaik saja proses pelantikan dimuktamadkan.

Semalam, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, berkata perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB diarah digugurkan dalam penyediaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Beliau berkata, perkara itu diarahkan Shukry pada 26 Februari 2016 atas alasan ia sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu – berita harian