IPOH: Walaupun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan Kerajaan Negeri akan terbentuk mengikut acuan di Putrajaya sekarang, tetapi realitinya ia masih belum menentu.

Berdasarkan situasi yang berlaku, sebenarnya, bukanlah semudah seperti yang diucapkan itu kerana
banyak isu yang perlu diambil kira.

Pandangan daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Muafakat Nasional (Umno dan Pas) juga perlu diambil kira, lebih-lebih lagi selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan.

Kini, Muafakat Nasional mula nampak lebih dominan kerana mempunyai 28 kerusi, sama seperti baki kerusi PH yang tinggal.

Bersatu mempunyai dua kerusi manakala satu lagi kerusi Bebas, menjadikan kesemua 59 kerusi DUN di Perak.

Ketika peringkat awal berlakunya bergolakan politik tanah air, difahamkan Badan Perhubungan Umno Perak yang bermesyuarat pada 24 Februari lalu sebulat suara menamakan Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamed sebagai calon Menteri Besar.

Tidak cukup dengan itu, difahamkan, semua 28 ADUN Muafakat Nasional juga telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bersetuju menamakan Saarani sebagai calon Menteri Besar.

Walaupun Ahmad Faizal membayangkan kemungkinan untuk terus kekal sebagai Menteri Besar, pemerhati politik pula berpendapat, ia agak sukar kerana terdapat beberapa isu yang masih belum selesai.

Menurut mereka, isu-isu ini akan terus menjadi ‘peluru’ untuk pembangkang ‘menembak’ beliau sekiranya kekal sebagai Menteri Besar.

Antara isu itu ialah hak milik kekal tanah 999 tahun yang nampaknya terus diperjuangkan DAP, pelantikan ahli majlis yang tidak selesai yang dibangkitkan oleh PKR dan penganugerahan konsesi projek jalan daerah dan perbandaran.

“Isu-isu ini mungkin akan berterusan menjadi ‘senjata’ kepada pembangkang,” kata seorang pemerhati politik.

Bagaimanapun, dalam masa sama, pemerhati politik berpendapat, Ahmad Faizal mempunyai jasa yang cukup besar dalam proses perubahan kerajaan persekutuan sehingga Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Beliau memang dikenali sebagai orang kuat Tun (Dr Mahathir Mohamad) dan pernah menjadi pegawai khas kanan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Bagaimanapun, demi Perikatan Nasional, Ahmad Faizal sanggup mengorbankan kesetiaannya terhadap Tun dan Mukhriz,” kata seorang lagi pemerhati politik.

Bagi mengenang jasa Ahmad Faizal, kalangan pemerhati politik merasakan beliau wajar diberi peluang berkhidmat di pusat sebagai seorang menteri, kerana beliau juga adalah Ahli Parlimen Tambun.

Apapun pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak, keputusan akhirnya terletak di tangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Semua pihak mengakui dan yakin, dengan pengalaman dan kebijaksanaannya, Sultan Nazrin mampu membuat keputusan yang terbaik, demi untuk rakyat dan negeri Perak.