KUALA LUMPUR : Mana-mana pihak tanpa mengira kaum yang menghina peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan musuh kepada negara, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Mohamad turut menganggap perbuatan itu sebagai jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Mutakhir ini kita lihat disebabkan negara aman dan tenteram, ada yang lupa peranan Kementerian Pertahanan dan unit-unit dibawahnya.

“Bagi kita, siapa sahaja yang hina ATM, mereka adalah musuh negara, tidak kira mana-mana kaum atau pihak. Bahkan, bagi kita menghina ATM juga adalah jijik dan tidak boleh diterima,” kata Mohamad.

Mohamad berkata demikian menerusi ucapannya ketika Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Hadir sama dalam Majlis tersebut Timbalannya Liew Chin Tong.

Baru-baru ini, Pengasas Gamuda Koon Yew Yin dalam blognya berkata ramai anggota tentera hanya makan dan tidur malah ramai antara mereka tidak pernah menembak, dan mencadangkan anggota tentera dihantar bertugas ke ladang-ladang Felda.

Kenyataan itu dibuat Koon menerusi satu tulisan bertajuk “Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita”.

Bagaimanapun pendapat itu mengundang kritikan pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO yang berpandangan kenyataan itu menghina pasukan ATM.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Koon akhirnya membuat permohonan maaf, terutamanya kepada anggota tentera yang tersinggung dengan kenyataan itu.

Mengulas mengenai permohonan maaf dibuat Koon, Mohamad memaklumkan tidak akan ada perkataan menerima maaf yang akan keluar dari mulutnya, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.

“Tidak sebut soal maafkan. Tidak ada perkataan maaf dan sebagainya. Laporan yang dibuat kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan atau tidak, atas kebijaksanaan mereka,” katanya.

Mohamad dalam ucapannya turut yakin kredibiliti anggota tentera tetap utuh dalam menangani pelbagai isu keselamatan domestik dan antarabangsa.

Beliau turut mengkritik sikap netizen yang hanya melenting apabila kritikan terhadap anggota ATM dibuat seorang jutawan bukan Melayu, namun berdiam diri apabila kritikan terhadap pasukan itu dibuat bekas Ketua Menteri Sabah Harris Salleh.

Julai lalu, sebuah portal berpengkalan di Sabah, Dailyexpress melaporkan Harris menggesa anggota parlimen mengemukakan usul untuk mengkaji semula peranan ATM supaya wang berbilion ringgit yang dibelanjakan ketika ini boleh dijimatkan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Apabila bekas ketua menteri Sabah keluarkan kenyataan minta bekas tentera jadi pengawal keselamatan, manakala tentera wanita elok menjadi amah atau tukang cuci, rakyat tidak melenting. Ia juga merendahkan pasukan tentera.

“Rakyat melenting dan membela pasukan tentera apabila ada jutawan katakan tentera hanya makan dan tidur, serta elok jadi peneroka Felda.

“Saya lihat ada isu perkauman yang dimainkan. Kenapa seorang Islam mengkritik tentera netizen diam, tetapi kenapa bila jutawan ini mereka melenting,” katanya.

Jelasnya, walau apa pandangan dilontarkan netizen, pasukan ATM harus tetap berkhidmat kepada kerajaan dan akan mempertahankan kedaulatan negara.

“Disebabkan kedaulatan negara yang dijaga oleh tentera menyebabkan peniaga boleh jadi jutawan, boleh bergerak ke mana-mana, boleh mencari makan dan boleh tambah pendapatan,” katanya.