AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kota Kinabalu menahan dua bot pancing yang menceroboh kawasan larangan pelantar minyak ERB WEST di Perairan Pulau Mengalum, 4 April lalu.

Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, satu pasukan Op Khas telah ditubuhkan bagi memantau kawasan pelantar minyak di perairan Kota Kinabalu berikutan aduan mengenai pencerobohan di kawasan pelantar minyak.

“Ketika melakukan pemantauan, pasukan Op Khas telah menahan dua bot pancing pada 4.30 pagi yang sedang memancing berhampiran pelantar minyak ERB WEST.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua juragan atas bot itu yang berumur 21 dan 35 tahun, tidak memiliki dokumen diri, selain gagal mempamerkan lesen bot yang sah.

“Kedua-dua bot dan juragan ditahan dan diiringi ke jeti APMM untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataannya di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Enekmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah dan Akta Perikanan 1985 – berita harian