KUALA KURAU – Kerajaan Perak meminta agensi berkaitan menyiasat kemungkinan berlakunya aktiviti mengaut pasir di perairan daerah ini untuk projek tambakan laut di Pulau Pinang.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, dakwaan berlaku aktiviti haram itu dikemukakan pihak nelayan sewaktu sesi dialog bersempena Hari Bertemu Pelanggan LKIM Peringkat Persatuan Nelayan Kerian (PNK),di Taman Kurau Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil serius dakwaan itu dan menggesa mana-mana pihak termasuk nelayan yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti berkenaan agar segera membuat aduan rasmi kepada agensi kerajaan bertanggungjawab.

“Sehingga kini, belum ada sebarang laporan diterima, namun saya menasihatkan sesiapa ada maklumat mengenai perkara ini segera maklumkan kepada pihak bertanggungjawab.

“Dalam masa sama, agensi berkaitan turut digesa menyiasat perkara ini segera dan sekiranya dakwaan itu terbukti benar, tindakan tegas sewajarnya diambil,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Dalam sesi dialog itu, seorang nelayan pantai mendakwa mempunyai maklumat mengenai aktiviti mengaut pasir di perairan daerah Kerian yang dipercayai dilakukan sejak penghujung tahun lalu.

Nelayan yang enggan dikenali itu menggesa kerajaan negeri dan pihak berkaitan segera menghentikan tindakan berkenaan kerana bimbang memberi kesan kepada nelayan khususnya nelayan pantai – sinar harian