Pemuda PAS mendesak pihak berkuasa agar menjalankan siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana asing oleh parti komponen Pakatan Harapan, DAP.

Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya membuat laporan polis secara besar-besaran di seluruh negara bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya isu berkenaan tidak dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

Menurutnya, dakwaan bahawa DAP menerima dana asing sudah tersebar sejak beberapa tahun kebelakangan tetapi tiada sebarang tindakan dibuat untuk menyiasat perkara itu.

“Jika PAS boleh disiasat atas dakwaan menerima dana RM90 juta maka tiada sebab untuk menghalang siasatan sama dilakukan ke atas DAP.

“Penerimaan dana asing oleh DAP adalah perkara menyalahi integriti dan undang-undang kerana ia boleh membawa ugutan dan ancaman kepada kedaulatan negara,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, Ahmad Fadhli yang juga anggota parlimen Pasir Mas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membuat laporan terhadap DAP berhubung tersebut.

Laporan tersebut dibuat oleh ahli Pemuda PAS Kelantan, Mohd Suhaizi Kadir pada jam 10 pagi tadi.

Ahmad Fadhli berkata susulan laporan yang dibiat oleh Pemuda PAS di seluruh negara itu, siasatan terhadap DAP perlu dilakukan segera lebih-lebih lagi parti itu kini sebahagian daripada pemerintah kerajaan Malaysia.

“DAP adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan hari ini, jadi kita mahu supaya akaun DAP disiasat polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya dibuktikan mereka tidak menerima dana asing sebagaimana didakwa.

“Antara dakwaan serius sebelum ini adalah pendedahan bekas setiausaha politik ketua menteri Pulau Pinang, Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa DAP mengambil wang rasuah RM300 juta dari Israel.

“Sehingga sekarang DAP tidak menyaman individu tersebut dan ia seperti menggambarkan dakwaan itu betul dan jika DAP terima dana dari Israel dan Yahudi maka kita boleh buat kesimpulan DAP bergerak mengikut telunjuk Israel dan Yahudi,” tegasnya.

Selain itu, tambah ketua pemuda PAS Kelantan itu, kenyataan daripada Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining secara terbuka menyatakan pihaknya memberi dana kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu juga perlu disiasat.

“Justeru kita berharap berdasarkan dakwaan dan pendedahan pelbagai pihak itu siasatan terhadap DAP dapat dilakukan susulan laporan polis yang dibuat hari ini, ” kata Ahmad Fadhli – Malaysiakini