KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan mengarahkan jabatan pendidikan negeri menyiasat sekiranya benar ada soalan bocor Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Dalam satu kenyataannya hari ini, kementerian berkata, kertas soalan PT3 merupakan dokumen terperingkat terhad.

Semua personel pentadbiran dan pentaksiran adalah tanggungjawab kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan PT3.

“Sewajarnya kertas soalan dan panduan penskoran PT3 hendaklah disimpan di bilik berkunci di dalam almari besi berkunci di sekolah bagi memastikan kerahsiaan dan keselamatan kertas soalan, pergerakan dan panduan penskoran mesti direkodkan,” ujar kenyataan yang sama hari ini.

Individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyebaran kertas soalan boleh diambil tindakan.

Menurutnya, pengendalian PT3 sama seperti pengendalian peperiksaan akhir tahun sekolah.

Sehubungan itu, kementerian menyarankan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan maklumat lanjut daripada kementerian

– MalaysiaGazette