SLIM RIVER: Menteri Besar Peral, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihatkan Naib Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang supaya tidak hanya mendedahkan sijil akademik pegawai kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teka itu juga perlu menyiasat penggunaan sijil akademik palsu di kalangan pemimpin pembangkang, yang pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, tegas Dr Zambry, kerajaan negeri memandang serius penggunaan sijil palsu oleh kakitangan kerajaan dan menyerahkannya kepada pihak polis melakukan siasatan.

“Sijil palsu ini bukan hanya melibatkan pegawai tertentu, pembangkang pun pernah wujud dulu, suatu ketika dahulu bising di Perak ada ADUN-ADUN tertentu yang menggunakan ada ijazah itulah, ijazah inilah.

“Tidak perlulah saya sebut ADUN mana, tapi ADUN pembangkanglah, apabila orang periksa daripada universiti manapun, orang tidak tahu.

“Jadi eloklah juga saya syorkan kepada Chang Lih Kang, sementara dia tengok masalah pegawai-pegawai, elok jugalah tengok di kalangan ADUN-ADUN pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas majlis makan tengahari bersama peneroka Felda Sungai Behrang di sini pada Rabu.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Chang Lih Kang yang mendakwa kononnya seorang pegawai di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) menggunakan sijil palsu untuk melayakkan diri mendapat jawatan tinggi di agensi berkenaan.

Dr Zambry turut mencadangkan supaya wakil rakyat itu menasihatkan rakan-rakan pembangkangnya, sekiranya masih ada lagi yang menggunakan sijil-sijil universiti yang tidak diketahui daripada mana.

“Di sini bukan bermakna saya hendak pertahankan pegawai yang berkenaan, paling penting kita nak tahu kebenaran kerana saya dimaklumkan dia juga mempunyai ijazah daripada UiTM.

“Ketika mula diambil bekerja dia menggunakan ijazah yang mana, itu cukup penting, samada universiti yang berkenaan palsu juga perlu disiasat,” ujar beliau.