IPOH: Polis Perak sedang menjalankan siasatan berhubung kes seorang anggotanya yang didakwa menganggu dan melarikan isteri orang seperti yang ditularkan menerusi laman media sosial baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima beberapa laporan polis yang dibuat oleh suami wanita berkenaan.

“Hasil daripada semakan yang dibuat, pihak polis juga ada menerima laporan polis daripada anggota polis berkenaan dan wanita yang dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Gan berkata, pihak polis telah membuat keputusan untuk menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu atas salah laku anggota polis tersebut dan sekiranya terbukti tindakan akan diambil oleh jabatan berkenaan.

“Polis akan meneruskan siasatan sekiranya terdapat keterangan atau bukti jika sekiranya terdapat kesalahan jenayah dalam kes ini,” katanya.