IPOH: Pejabat Pergerakan Pemuda myPPP Perak, hari ini, meminta pihak polis menyiasat kesahihan laporan blog yang mendakwa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dari Perak yang telah menumbuk dan mengasari teman wanitanya.

Ketua Pemudanya, Mohamed Nor Fahdzil Sahul Hamid berkata, ADUN pembangkang itu dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan teman wanitanya walaupun dia telah berkahwin dan mempunyai anak.

“Blog itu menyatakan bahawa ADUN berkenaan bertindak memukul serta dituduh mencuri wang serta barangan peribadi mangsa.

“Pada pandangan saya, ini adalah satu tindakan zalim dan tidak seharusnya dilakukan oleh seseorang yang mewakili rakyat.

“Sehubungan itu, saya memohon pihak polis agar menjalankan siasatan untuk mengetahui kesahihan tuduhan itu dan sekiranya ia benar-benar berlaku, tindakan undang-undang perlu diambil,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini, hari ini.

Dalam hantaran bertarikh 31 Oktober lalu, blog http://novandri.blogspot.com memaparkan laporan polis oleh ADUN DAP berkenaan bahawa ada berlaku salah faham di rumah teman wanitanya dan dia hanya memaki wanita tersebut sebelum meninggalkan rumah itu.

Blog tersebut bagaimanapun menyatakan bahawa laporan polis ADUN DAP itu bercanggah dengan laporan polis yang dibuat oleh teman wanitanya yang mendakwa dia telah ditipu oleh ADUN tersebut.

Kata blog itu, malah, ADUN DAP berkenaan telah mencederakan teman wanitanya dengan menumbuk pipi wanita tersebut.

Wanita itu juga melaporkan bahawa beberapa barangan milik beliau juga telah hilang termasuk dokumen-dokumen penting dan juga wang tunai, kata blog tersebut.