IPOH: Kerajaan negeri akan mengenalpasti pegawai kerajaan yang membocorkan dokumen mengenai aset Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) kepada umum.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi  dalam soal ini kerana pegawai kerajaan sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan menjaga rahsia kerajaan seperti mana yang termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Menurut beliau, perbuatan membocorkan rahsia kerajaan  itu jika tidak dihalang akan memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk `menyerang’ kerajaan.

“Setiap kakitangan awam adalah bertanggungjawab menjaga dan melindungi dokumen kerajaan dan bukan mendedahkannya kepada umum,” katanya semasa menggulung di Sidang DUN pada Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Nga Kor Meng (DAP- Kepayang) semasa sesi perbahasan lalu yang mendakwa mendapat dokumen kerajaan daripada pegawai kerajaan berhubung aset Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Dalam masa yang sama Dr Zambry  berkata, beliau turut bersimpati dengan kakitangan kerajaan atas dakwaan yang dibuat wakil DAP Kepayang itu.

Menyentuh mengenai pelaburan katanya, kerajaan memerlukan dokongan semua pihak termasuk MITI dan sebagainya untuk menarik ramai pelabur ke Perak.