KUALA LUMPUR: Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menggesa siasatan segera dilakukan terhadap semua bekas Menteri Pertahanan yang memegang jawatan berkenaan dari tahun 1997 sehingga Mei 2018.

Ia susulan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek ‘land swap’ Kementerian Pertahanan dalam tempoh itu.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji, berkata pihaknya juga berpendapat tindakan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencabar kerajaan supaya membuktikan beliau mendapat habuan secara kewangan dan politik menerusi projek ‘land swap’ adalah sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, Hishamuddin perlu bertanggungjawab atas kegagalan projek ‘land swap’ yang berlaku ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan.

“Sama ada Hishammuddin mendapat faedah secara langsung daripada projek itu, ia terpulang kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Nasihat ‘jika tinggal di rumah kaca jangan baling batu’ yang diberikan beliau kepada Menteri Pertahanan dan Timbalannya (Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong) adalah percubaan yang menggelikan hati untuk mengalih rasa bersalah dan pada masa yang sama menutup kesalahan sendiri.

“PATRIOT mendesak siasatan segera dibuat terhadap semua bekas Menteri Pertahanan yang berkhidmat dari 1997 hingga Mei 2018 jika ada unsur yang meragukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Arshad berkata, tindakan juga perlu diambil terhadap pegawai yang gagal memastikan transaksi ‘land swap’ dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, untuk projek yang belum dimulakan, dan yang sedang berjalan, rundingan semula diperlukan seperti yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan.

Jumaat lalu, akhbar melaporkan wujud campur tangan keterlaluan demi kepentingan politik berhubung projek ‘land swap’ Kementerian Pertahanan yang dibentangkan di Dewan Negara oleh Mohamad.

Mohamad dilaporkan berkata siasatan mendapati wujud campur tangan bekas Menteri Pertahanan dan bekas Perdana Menteri dalam 13 daripada 16 projek yang dijalankan, namun beliau tidak menyebut sebarang nama – Berita harian