KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuah firma audit ternama, Deloitte Malaysia dipercayai berhubung siasatan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menyerbu firma yang terletak di Bangunan LGB, Taman Tun Dr Ismail di sini, kira-kira jam 10.45 pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi BH mengesahkan serbuan berkenaan.

“Beberapa fail dan dokumen yang dipercayai ada kaitan dengan syarikat 1MDB diperiksa dan dirampas untuk siasatan.

“Buat masa kita hanya jalankan serbuan di firma itu sahaja dan tiada mana-mana individu ditahan,” katanya.

Selepas hampir hampir tujuh jam menjalankan pemeriksaan, pasukan polis masih belum selesai menjalankan siasatan di firma berkenaan. Deloitte PLT (Deloitte) yang beribu pejabat di United Kingdom pernah disiasat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung pembabitan mereka dalam skandal 1MDB, Januari lalu.

SC dilaporkan mengenakan celaan dan penalti berjumlah RM2.2 juta terhadap firma itu bagi empat kesalahan berkaitan dengan terbitan Program Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion, yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) pada 2014.

Deloitte dilantik sebagai juruaudit berkanun bagi BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 sehingga 2016.

1MDB RE, kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd, adalah salah satu pembekal perkhidmatan keselamatan bagi Program Sukuk Murabahah dan syarikat induk bagi BMSB.

Manakala, 1MDB adalah syarikat induk bagi 1MDB RE dan BMSB.Deloitte didapati melanggar peraturan di bawah Seksyen 276 (3) (b) Akta Pasaran dan Perkhidmatan Modal 2007 (CMSA).

Firma itu didapati gagal untuk melaporkan segera kepada SC mengenai penyelewengan yang mungkin memberi kesan material ke atas kemampuan BMSB untuk memenuhi kewajipan mereka dalam pembayaran balik kepada pemegang sukuk membabitkan mana-mana jumlah di bawah program sukuk berkenaan – Berita harian