PUTRAJAYA: Polis sudah membuka semula kertas siasatan berhubung projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan proses siasatan giat berjalan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya turut menyiasat dakwaan FELDA dipaksa membeli 37 peratus saham syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP) pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion).

Beliau berkata, beberapa individu penting termasuk orang kenamaan akan dipanggil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kedua-dua kes berkenaan.

“Laporan baharu berkaitan kes terbabit ada dibuat dan JSJK diarah melakukan siasatan segera.

“Menjadi perkara biasa untuk kita panggil individu berkaitan (orang kenamaan), kalau tidak macam mana nak lengkapkan kertas siasatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran APAC PoliceTech di di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, JSJK Bukit Aman mengesahkan sudah menerima laporan untuk membuka semula kertas siasatan berhubung projek KLVC di Jalan Semarak, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada siasatan susulan (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mazlan Mansor, dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima dua laporan polis berhubung siasatan kes berkenaan susulan laporan Pengarah Besar FELDA, Datuk Othman Omar, Isnin lalu.

Susulan pembelian itu, FELDA menanggung kerugian berikutan membayar RM2.3 bilion bagi syarikat yang kini hanya bernilai RM555 juta setakat bulan lalu – Berita harian