SERI ISKANDAR: Polis Perak sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual dan seks luar tabii membabitkan pelajar Maahad Tahfiz Darul Barakah di Manjoi, Ipoh milik pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Gan Tian Kee berkata, pihaknya telah diarahkan Jabatan Peguam Negara untuk melakukan siasatan menyeluruh merangkumi pelbagai aspek berhubung kes itu yang didakwa berlaku pada Ogos tahun lepas.

Katanya, pihak polis juga telah memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan berhubung beberapa perkara berhubung kes tersebut.

“Kertas siasatan sudah hampir siap sepenuhnya dan polis akan menyerahkannya tidak lama lagi kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan  Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Perak Tengah di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini pada pagi Rabu.

Pada 28 Dis lepas, Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis Perak menyiasat semula kes pencabulan seksual dan seks luar tabii yan didakwa berlaku di sekolah tahfiz berkenaan.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah memberi arahan menerusi Unit Pendakwaan Negeri Perak dan jabatan itu sedang menunggu hasil siasatan lanjut sebelum memutuskan untuk melakukan sebarang pendakwaan.