IPOH: Persidangan kedua Dewan Belia Perak yang berlangsung selama dua hari di Ipoh telah meluluskan tujuh usul yang dibentangkan.

Usul-usul itu diluluskan selepas ahli Dewan Belia seluruh negeri Perak membahasnya selama dua hari bermula Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, tujuh usul itu nanti akan dibawa ke peringkat seterusnya untuk diambil tindakan.

“Saya sudah mendapat maklum supaya jawatankuasa dan urusetia dewan membuat kunjungan dan berjumpa dengan Exco untuk membincangkan usul yang relevan diketengahkan.

“Pihak urusetia dan dewan belia turut meluluskan peruntukan untuk setiap ahli dewan mengadakan program TN50 di kawasan masing-masing, bergantung kepada cara samada dengan kumpulan sasaran atau yang bersesuaian seperti dialog,” katanya ketika berucap di sesi penggulungan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Belia Yang Pertama, Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Rizuan pada Ahad.

Hadir sama speaker Dewan Belia Perak, Salbiah Mohamed, Timbalan Speaker, Ziad Mohamed Zainal Abidin dan Hasnul Firuz, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Aznel Ibrahim serta Maslin Sham Razman.

Shahrul berkata antara tujuh usul itu ialah Menaiktaraf Infrastuktur Dan Perkhidmatan Pengangkutan Pelancongan Serta Menggalakkan Belia Menceburi Bidang Pelancongan Negeri Perak, Perak Sebagai Hub Kecemerlangan Perniagaan Sosial Asia 2050:Pembangunan Masyarakat Yang Inklusif.

Mentransformasikan Kebudayaan Dan Sukan Tradisional Ke Dalam Bentuk Digital, Pembangunan Modal Insan Melalui Kesejahteraan Kesihatan Mental, Inovasi Merentas Transformasi Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui Ke Arah Sumber Pendapatan Baru Negara, Perak Negeri Maju 2050:Sistem Pengangkutan Awam Yang Efektif Sistematik dan Menyeluruh Di Udara, Darat Dan Air serta Mengupayakan ‘The Street Citizen’ Melalui Perak ysejahtera Tanpa Qi-Kai.

Kesemua tujuh usul itu telah dibentangkan oleh setiap  perwakilan yang mewakili tujuh jawatankuasa khas.

Antara empat jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Ekonomi, Usahawan Pelancongan dan Pengantarabangsaan; Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyurakat dan Wanita; Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudyaan dan Kesnian dan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional.

Tiga lagi jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia; Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar dan Jawatankuasa Pencegahan Jenayah, Masyarakat Sivil dan Patriotisme.