IPOH: Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan yang berakhir pada Selasa telah meluluskan lima usul.

Usul-usul itu ialah ucapan tahniah serta menjunjung kasih titah ucapan perasmian Sultan Perak; penubuhan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC); penubuhan Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Negeri; penubuhan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri dan pemilihan Ahli Dewan Negara.

Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN – Kenering) dilantik sebagai Pengerusi PAC manakala Datuk Abdul Manaf Hashim (BN – Pengkalan Baru) sebagai Timbalan Pengerusi di samping ahli-ahli terdiri daripada Datuk Siti Salmah Mat Jusak (BN – Lubuk Merbau), Datuk Mohd Zaolakfly Harun (BN – Lintang), Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN – Hulu Kinta), Chang Lih Kang (PKR – Teja) dan Nga Kor Ming (DAP – Kepayang).

Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Negeri pula dipengerusikan sendiri Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, S. Thangeswary manaka ahli-ahli terdiri daripada Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof (BN – Selama), Datuk Sham Mat Sahat (BN – Alor Pongsu), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN – Changkat Jong), Abdullah Fauzi Datuk Ahmad Razali (BN – Kg Gajah), S. Kesavan (PKR – Hutan Melintang) dan Wong Kah Who (DAP – Canning).

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri Perak yang juga dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Perak dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN – Slim), Datuk Mohd Kamil Shafie (BN – Manong), Datuk Dr Zabri Abd Wahid (BN – Trong), Datuk Rashidi Ibrahim (BN – Pasir Panjang), Husin Din (PAS – Selinsing) dan Ong Boon Piow (DAP – Tebing Tinggi).

Dalam pada itu, Dewan turut meluluskan usul melantik semula Timbalan Menteri Kewangan yang juga Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Mohd Kassim sebagai Ahli Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 21 April 2017.

Pemilihan mereka dibuat selepas pengundiaan secara angkat tangan di samping dua lagi calon yang dicadangkan wakil rakyat pembangkang iaitu Nga Hock Chye dan Mohd Zainuddin Mohd Yusof.

Pada pengundian yang dibuat secara mengangkat tangan, Lee dan Hamzah yang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memperolehi 31 undi manakala undi Nga dan Mohd Zainuddin diisytiharkan sebagai rosak kerana beberapa wakil pembangkang mengangkat dua belah tangan.

Bagaimanapun disebabkan terdapat bantahan daripada pembangkang, pengundian secara mengangkat tangan dibuat semula.

Pengundian kali kedua menunjukkan Lee dan Hamzah tetap mendapat 31 undi manakala pembangkang tidak mengundi sebagai tanda protes.

Dewan kemudiannya ditangguhkan pada jam 5.15 petang setelah bersidang sejak Selasa minggu lalu.