IPOH: Tempoh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang singkat bukan perkara luar biasa, malah turut diamalkan di negeri-negeri lain, termasuk di negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sidang Dewan yang diadakan itu adalah bagi memenuhi peruntukan undang-undang yang mensyaratkan ia mesti diadakan dalam tempuh enam bulan.

Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian menyebabkan Dewan boleh terbubar dengan sendiri dan pilihan raya mesti diadakan.

“Itu amalan di mana-mana, bukan hanya di negeri Perak, sebab itu seperti hari ini, ia hanya diadakan untuk mengambil syarat bagi membolehkan supaya enam bulan itu tidak terputus, bukan kerana soal kita takut,” katanya dalam sidang media selepas Sidang DUN di sini pada Selasa.

Terdahulu, beberapa pemimpin pembangkang mempertikaikan tempoh sidang Dewan yang pendek, kononnya ia adalah cara kerajaan negeri melarikan diri daripada menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

Bagaimanapun, kata Dr Zambry, seperti biasa pembangkang akan membuat pelbagai tuduhan dan cuba memanipulasikan apa sahaja yang boleh seperti seperti soalan bertulis, berapa dijawab dan sebagainya.

Beliau menjelaskan, seperti juga amalan di negeri-negeri lain, perbahasan hanya diadakan apabila terdapat pembetangan bajet dan titah perasmian Sultan.

Di samping itu, kata beliau, Perak adalah antara negeri yang menyediakan jawapan secara bertulis sekiranya soalan-soalan lisan yang tidak sempat dijawab di dalam persidangan di samping soalan bertulis juga.