SERI MANJUNG: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) singkat juga pernah berlaku ketika pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri Perak selama 11 bulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia bukan soal kerajaan takut untuk menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan.

Malah, kata beliau, Sidang DUN di negeri-negeri lain, termasuk di Selangor baru-baru ini juga dijalankan dalam tempoh yang singkat.

“Dia lupa, waktu zaman dia 11 bulan pun dia ada buat juga, benda yang samalah sebab itu adalah amalan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Projek Perumahan Awam Kg Dato’ Seri Kamarudin di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan berterusan pembangkang kononnya Sidang DUN singkat kerana kerajaan takut untuk menjawab soalan.

Dr Zambry mengulangi kenyataannya bahawa DAP akan terus dengan amalan 3B, benci, bohong dan balun.

Ketika sidang media selepas Sidang DUN Perak baru-baru ini, Menteri Besar menjelaskan bahawa sidang Dewan yang diadakan itu adalah bagi memenuhi peruntukan undang-undang yang mensyaratkan ia mesti diadakan dalam tempuh enam bulan.

Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian menyebabkan Dewan boleh terbubar dengan sendiri dan pilihan raya mesti diadakan.

“Itu amalan di mana-mana, bukan hanya di negeri Perak, sebab itu seperti hari ini, ia hanya diadakan untuk mengambil syarat bagi membolehkan supaya enam bulan itu tidak terputus, bukan kerana soal kita takut,” katanya.