TELUK INTAN – Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong menyuarakan kekecewaannya selepas bahan-bahan kempen seperti poster dan bendera untuk calon-calon Barisan Nasional (BN) di sekitar pekan ini sengaja dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga calon di kerusi Parlimen itu berkata, ianya merupakan satu perkembangan politik yang tidak sihat dan menyifatkannya sebagai politik ala samseng.

“Saya rasa begitu kecewa apabila tengok (bahan berkempen) gambar-gambar calon dan poster kita telah dirosakkan di beberapa kawasan, bagi saya ini adalah budaya tidak sihat dan budaya samseng.

“Saya tidak tahu kenapa bendera dicabut, muka calon (dalam poster) dirosakkan, kita tak mahu ini, kita mahu satu pilihanraya yang berjalan dengan lancar supaya rakyat boleh buat keputusan sebagai satu negara demokrasi,” katanya pada satu sidang media selepas melancarkan manifesto BN Teluk Intan, di sini pada Selasa.

Tambah beliau, perkara tersebut tidak pernah terjadi di parlimen berkenaan pada pilihan raya sebelum-sebelum ini dan ia adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh.

“Rakyat berhak membuat keputusan dengan tenteram, dengan rasa selamat..kita tidak mahu budaya mengancam begini.

“Kita mendapat banyak aduan dari pusat daerah mengundi kami, sebelum ini kita tak mempunyai masalah seperti ini, kita semua (termasuk pihak pembangkang) berkempen secara sihat,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan vandalisme terhadap bahan-bahan berkempen itu disedarinya sendiri ketika melakukan program walkabout di sekitar kawasan berkenaan pagi tadi.

Dalam sidang media itu, Mah telah melancarkan manifesto BN Teluk Intan yang mengariskan lapan teras utama iaitu transformasi ekonomi teluk intan, kualiti hidup, pendiidkan, keselamatan, pelancongan, masalah banjir, pendidikan dan rumah mampu milik.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi tersebut berkata, manifesto itu dirangka berdasarkan kajian teliti serta bancian yang dibuat dikalangan penduduk Teluk Intan berkenaan keperluan mereka.

Pada Pilihan Raya Kecil Teluk Intan yang diadakan pada 31 Mei 2014 setelah kematian penyandangnya Seah Leong Peng (DAP), Mah telah menewaskan Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. Pada PRU-13, mendiang Seah menang dengan majoriti 7,313 undi mengalahkan calon BN.

Pada pilihan raya kali ini, Mah akan berdepan Nga Kor Ming dari DAP dan calon PAS Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.

Teluk Intan mempunyai 66,487 pengundi dengan pecahan 40.67 peratus kaum Melayu, 40.09 peratus kaum Cina, 18.64 peratus kaum India dan selebihnya adalah Orang Asli, Bumiputra Sabah serta Sarawak.

BERITA BERKENAANRakyat Bijak Menilai Kerja Dr Zambry – Calon Pasir Panjang