IPOH – Pengusaha premis makanan diingatkan supaya tidak menyalahguna sijil halal diperolehi dengan mengabaikan aspek kebersihan.

Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan berkata, peringatan itu dibuat selepas mendapati terdapat pengusaha menggunakan alasan telah mendapatkan pengesahan halal ketika pemeriksaan dijalankan Jabatan Kesihatan.

“Nampak mereka hanya prihatin mengenai sijil halal, bukan kebersihan, mereka fikir, apabila sudah ada sijil halal, semuanya dianggap selesai dan bersih, ini tidak betul.

“Pengesahan sijil halal adalah satu perkara berbeza..yang kita persoalkan adalah kebersihan dalam pengendalian makanan secara keseluruhan bermula bahan mentah, proses pembuatan hinggalah pembungkusan kepada pelanggan.

Semuanya perlu melalui proses yang selamat dan bersih sepertimana ditetapkan dalam peraturan,” katanya sempena Operasi Premis Makanan Tidak Suci peringkat negeri Perak di Tapak Perindustrian Pengkalan, hari ini.

Dalam operasi melibatkan 30 pegawai dan anggota Jabatan Kesihatan negeri itu, sebanyak 12 premis dan kilang makanan dalam daerah Kinta telah diperiksa.

Sivanesan berkata, daripada pemeriksaan dijalankan itu, didapati ada premis yang memperolehi sijil halal, masih gagal mematuhi aspek kebersihan dalam prosedur pengendalian makanan.

Katanya, antara kesalahan dilakukan adalah ruang pemprosesan makanan yang terlalu terdedah serta kedudukan meletakkan hasil makanan hampir dengan tandas.

“Untuk kesalahan seperti ini, notis penutupan selama 14 hari telah kita keluarkan agar kerja pembersihan dibuat pengusaha.

“Selepas ini, kita mohon sebarang pemeriksaan mahupun lawatan kawasan dilakukan jabatan agama, bawalah juga pegawai kesihatan agar isu ini dapat diselesaikan secara bersama,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi sama, lima pemilik kilang telah diperintahkan hadir ke mahkamah selepas didapati gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pengusaha premis.

Menurutnya, selain berkaitan kebersihan, terdapat pengendali makanan tidak menghadiri kursus latihan, tidak mematuhi prosedur pakaian yang betul dan masalah makhluk perosak.

“Pemeriksaan seperti ini tidak hanya tertumpu kepada kilang-kilang besar tetapi akan diteruskan ke restoran-restoran biasa,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 223 kilang makanan berdaftar di seluruh Perak dan tahun lalu sahaja, sebanyak lapan kilang telah diarah tutup – sinar