IPOH: Biarpun masih belum mantap, namun penolong jurulatih pasukan Perak, Chong Yee Fatt lega dengan pendekatan dan sikap positif anak-anak buahnya setakat ini.

Beliau mengakui, The Bos Gaurus masih dalam proses pembikinan pasukan untuk mewujudkan keserasian dan persefahaman.
Menurutnya, ia bukannya proses yang mudah kerana terdapat ramai muka baharu dalam pasukan.

“Mereka perlukan sedikit masa, namun berdasarkan kesungguhan mereka, saya rasa kami semakin menuju ke matlamat,” katanya.

Menurut Yee Fatt itulah sebabnya perlawanan pemanas badan pra musim diatur hampir setiap minggu.

“Keputusan perlawanan bukan perkara utama tetapi yang penting ialah menguji gandingan dan membentuk keserasian dan persefahaman sepasukan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau memberitahu, dua lagi perlawanan persahabatan sudah diatur bertujuan memantapkan pasukan.
Apa yang pasti, langkah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menghimpun pemain ‘bintang’ nyata mendapat reaksi positif penyokong Yob.

Ia dapat dilihat apabila kehadiran penonton begitu memberangsangkan ketika dua perlawanan persahabatan dengan Felcra FC dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Perak, Sabtu lalu.

Mereka mahu melihat pasukan berwajah baharu yang menampilkan nama-nama besar seperti Sharom Kalam, Hafiz Kamal, Hadi Yahya, Zaquan Adha Abdul Razak, Nazrin Nawi, Jasazril Jamaluddin dan Idris Ahmad.

Selain itu, penyokong mahu melihat aksi awang import baru Yashir Pinto Islame dan pemain Bulgaria, Vladislav Mitkov Mirchev.

The Bos Gaurus yang mengekalkan khidmat tonggak benteng tahun lalu, Thiago Junio Aquino dalam proses mencari calon keempat bagi melengkapkan kuota importnya yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan baru-baru ini memberitahu bahawa Jurulatih, Karl-Heinz Weigang telah mengenal pasti pemain itu dan akan menamakannya selepas balik daripada bercuti.