SHAH ALAM – Seramai 57 pekerja kontrak terselamat dalam insiden runtuhan siling bangunan lama di sebuah pusat beli-belah, Centro Mall, Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, difahamkan kesemua pekerja berkenaan sedang melakukan kerja ubah suai bangunan tersebut sebelum berlaku runtuhan.

Ketua Balai Bomba Kota Raja Klang, Omar Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 10.45 pagi, sebelum tiga jentera bersama 35 anggota daripada Balai Bomba Shah Alam, Sg Pinang dan Kota Raja dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati runtuhan melibatkan siling bangunan serta ‘ducting aircond’ dalam bangunan yang sedang dalam proses pengubahsuaian.

“Sebaik tiba, anggota kita masuk ke lokasi untuk buat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.

“Kita gunakan bantuan unit K9, sebelum sahkan tiada mangsa terlibat. Kesemua 57 pekerja yang berada di lokasi sewaktu kejadian sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya, semalam.

Omar berkata, bomba selesai menjalankan siasatan sebelum operasi ditutup sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian tersebut melibatkan runtuhan siling plaster yang sedang dipasang di dewan bankuet utama tingkat satu pusat beli-belah tersebut.

-SinarHarian