BATU GAJAH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah projek Silverlakes Brand Village Outlet yang dianggap bakal mercu tanda baharu Lembah Kinta.

Projek itu dikatakan yang pertama seumpamanya, yang menawarkan pengalaman membeli belah dan menjamu selera di kawasan pelancongan Lembah Kinta, berhampiran stesen tren elektrik Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini.

Silverlakes Brand Village Outlet adalah satu daripada tiga fasa Silverlakes Kinta Valley yang meliputi kawasan seluas lebih 200 hektar dan dijangka siap keseluruhannya dalam tempoh 7 – 10 tahun dengan nilai pembangunan kasar lebih RM2 bilion.

Dr Zambry berkata, konsep projek ini sangat menarik dan unik kerana kedudukannya dalam kawasan di tepi tasik dengan pokok-pokok yang tidak boleh dipotong sesuka hati.

“Saya harap dengan adanya projek ini, Perak akan menjadi salah satu destinasi pelancongan dan rakyat boleh datang membeli belah di kawasan yang sangat cantik,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah itu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Pengerusi Eksekutif Silverland Capital Sdn Bhd, Datuk Azizan Abd Rahman.

Menteri Besar yakin, dengan adanya projek itu, ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan Batu Gajah yang telah menjadi kawasan tarikan hujung minggu.

Menurut beliau, selain daripada mempunyai Perkampungan Datuk Datuk Lat yang terkenal dengan Kampung Boy, projek itu juga terletak dengan kapal korek TT3.

Sementara itu, Azizan memberitahu, pelan induk pembangunan Silverlakes dibahagikan kepada tiga fasa di mana projek Silverlakes Brand Village Outlet dalam fasa pertama yang dijangka siap hujung tahun hadapan.

Beliau menambah, fasa pertama juga mengandungi projek hotel empat bintang yang mengandungi kira-kira 200 bilik dan pusat konvensyen yang boleh menampung 1,200 tetamu.

“Setakat ini 40 peratus daripada 150 jenama tempatan dan antarabangsa dengan memberi surat niat untuk membuka outlet mereka di sini,” kata beliau.

Fasa kedua projek itu membabitkan pembangunan kawasan lingkaran kediaman moden seperti rumah bandar (townhouse) manakala fasa ketiga merangkumi projek vila peranginan butik.