PARIT: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesan wujud sindiket yang membawa masuk warga asing yang diklasifikasikan sebagai ‘foreign terrorist fighter’ (FTF) ke negara ini, dengan tertangkapnya 45 daripada mereka dalam beberapa siri operasi sejak Januari hingga 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, mereka menggunakan pelbagai taktik, termasuk menggunakan pas dan visa pelajar di samping dokumen palsu untuk masuk ke pintu negara.

Menurut beliau, mereka juga dikatakan menggunakan orang perhubungan di Malaysia, khususnya ahli kumpulan Daesh di negara ini dan juga luar negara.

Katanya, bulan lalu sahaja, polis berjaya memberkas 19 daripada mereka, hasil maklumat yang diberikan pihak berkuasa negara-negara berkenaan, termasuk tiga daripada Maldives dan dua daripada Bangladesh.

“Mungkin dia orang buat ini ada sindiket terlibat dan pada masa yang sama, ada yang menggunakan ruang untuk belajar di institusi-institusi agama di negara kita dan diberi visa pelajar.

“Jadi kita sedang mengesan, kita sedang bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk membendung perkara ini daripada berlaku,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat PDRM di SMK Sultan Muzaffar Shah I, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Abd Ghafar Rajab, Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Hasnan Hassan, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan ADUN Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Menurut Mohamad Fuzi, pihak polis bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk dengan pihak risikan dan keselamatan negara-negara lain, bagi membendung perkara tersebut.

sindikett-warga-asing