JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa didalangi warga tempatan dengan menahan tujuh individu sekitar bandar raya ini dan Kuala Lumpur, serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM900,000, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata penahanan kesemua suspek terbabit adalah melibatkan lima lelaki dan dua wanita, berumur antara 26 dan 52 tahun.

Beliau berkata serbuan itu hasil perkongsian maklumat risikan Biro Kawalan Narkotik Thailand (PNSB), Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama-sama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting).

“Turut dirampas bersama-sama suspek adalah pelbagai jenis dadah disyaki syabu, heroin, Erimin 5, ketamin dan ekstasi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata pihaknya turut merampas pelbagai mata wang, barang kemas dan tujuh kenderaan dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM915,533.14.

Mereka yang ditahan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Sepanjang 2017 sehingga kini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor merampas pelbagai jenis dadah seberat 1,918.63 kilogram bernilai RM57 juta manakala nilai sitaan berjumlah RM19 juta serta penangkapan melibatkan 15,393 orang.

— BERNAMA