Georgetown: Satu sindiket yang menghasilkan dadah jenis heroin untuk diedar ke seluruh negara dilumpuhkan pihak berkuasa hasil lima serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang, Rabu lalu.

Difahamkan, sindiket dianggotai lapan individu termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 41 tahun berkenaan mempunyai kaitan dengan beberapa serbuan makmal dadah lain di seluruh negara sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, hasil penahanan lapan suspek terbabit pihaknya berjaya merampas dadah bernilai RM753,000 yang dihasilkan mereka di dua makmal dadah di Nibong Tebal dan Air Hitam.

“Hasil serbuan pertama di Nibong Tebal, polis menahan dua lelaki berusia 20-an sebelum menemui bungkusan dadah serta peralatan menghasilkan heroin.

“Susulan serbuan pertama, ia membawa kepada penemuan satu lagi makmal di sebuah premis di Air Hitam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Pulau Pinang, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua polis menahan seorang lelaki berusia 30-an sebelum merampas 13 bungkusan heroin dianggarkan seberat 1.6 kilogram (kg) dan satu kotak berisi 8.7kg dadah.