JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah cara baru menggunakan paket minuman apabila lima individu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari, Skudai di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata dalam serbuan jam 12.10 tengah malam, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah lebih 10.39 kilogram (kg) bernilai RM1.43 juta.

Individu yang diberkas itu terdiri daripada tiga lelaki tempatan serta masing-masing wanita tempatan dan Vietnam berusia antara 22 hingga 50 tahun.

“Pihak kita sudah melakukan intipan dan pemantauan terhadap aktiviti sindiket terbabit sejak empat bulan lalu dan kita percaya mereka menggunakan taktik dengan membungkus dadah sintetik menggunakan pakej minuman berperisa seperti teh berperisa mangga.

“Dalam serbuan itu, kita merampas serbuk ecstasi seberat 10.21kg; ketamin (5.62 gram (g)),syabu (140.01g),eramin 5 (130 biji) dan ecstacy (empat biji),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor di sini, hari ini.

Selain itu, pihak polis turut merampas pelbagai jenis peralatan yang digunakan untuk proses membungkus dadah seperti alat pemampat dan alat penimbang.

Dalam serbuan berkenaan,polis juga merampas dua buah kereta model Audi TT dan Proton Saga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.-BH