AMPANG JAYA – Kegiatan satu sindiket menghasilkan dokumen kerajaan dipercayai sebagai palsu yang aktif sejak enam bulan lalu berjaya dilumpuhkan dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Tasek Permai di sini pada 4 Oktober lalu.

Antara yang dirampas dalam serbuan oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu adalah 34 keping MyKad tanpa butiran, lapan keping Enforcement Card, enam keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, serbuan yang dibuat sekitar pukul 10.45 malam itu adalah hasil daripada risikan polis yang dijalankan selama tiga bulan.

“Sewaktu serbuan dibuat, terdapat tiga individu warganegara Indonesia di dalam rumah tersebut yang dipercayai sebagai dalang utama kepada sindiket berkenaan.

“Seorang lelaki dan dua wanita yang ditahan itu berumur dalam lingkungan 30-an dan dipercayai menghasilkan sendiri dokumen-dokumen dipercayai palsu berkenaan untuk dijual berdasarkan permintaan individu,” katanya dalam satu sidang akhbar di IPD Ampang Jaya di sini pagi tadi.

Menurut Hamzah, dokumen-dokumen palsu yang dihasilkan sendiri itu mempunyai kualiti yang agak tinggi dan dipercayai dijual dengan harga sekitar RM300 sehingga RM500 sekeping.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terlibat dengan sindiket ini dan kami turut membuat semakan dengan agensi-agensi berkaitan sama ada dokumen yang dihasilkan itu mempunyai rekod di dalam sistem mereka ataupun tidak,” tambah beliau.

Kesemua suspek kini direman tiga hari sehingga esok dan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE