PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan 45 wanita warga asing yang terbabit dalam kegiatan pelacuran dalam operasi di dua lokasi sekitar Puchong Jaya, Selangor, semalam.

Operasi pada 1.45 pagi oleh sekumpulan 15 pegawai dari Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen itu turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh serta masing-masing seorang daripada Myanmar dan Indonesia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata serbuan terhadap dua premis yang menjalankan sindiket pelacuran melalui aplikasi WeChat itu turut membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan yang bertindak selaku penyelia dan penjaga, juga dipercayai berperanan sebagai tonto premis berkenaan.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama, terdapat cubaan menutup pintu hadapan premis oleh penjaga hasil maklumat dipercayai diberikan tonto namun tindakan itu digagalkan anggota imigresen yang bersedia lebih awal di lokasi serbuan.

“Premis itu menawarkan perkhidmatan seks wanita warga asing dengan harga bermula RM155 bagi perkhidmatan selama 45 minit.

“Bilik-bilik yang digunakan untuk perkhidmatan seks itu dihiasi dengan tema kartun seperti Hello Kitty, Pikachu, Doraemon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafar berkata, serbuan di lokasi kedua yang terletak sederet dengan premis pertama sedikit sukar kerana wanita terbabit bersembunyi di ruang tangki air dan juga dalam peti sejuk bagi mengelak daripada ditangkap.

Beliau berkata, premis yang ‘dikawal’ tonto itu menawarkan perkhidmatan seks dengan harga RM160 bagi tempoh masa selama 45 minit.

“Kedua-dua premis disewa dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah serta dipercayai beroperasi 24 jam sehari,” katanya.

Mustafar berkata, semua mereka yang ditahan ditempatkan di depot tahanan Imigresen Bukit Jalil dan kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, sebanyak 18 Saman Saksi turut dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan. – BERNAMA