KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) cedera ketika cuba menyelamatkan diri selepas seorang ahli kumpulan sindiket pembalakan haram bertindak agresif cuba melanggar pasukan serbuan dengan jengkaut.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi tadi di Hutan Simpan Sekayu, Hulu Terengganu, suspek yang dikenal pasti sebagai ‘Koding’ bersama tiga lagi rakannya sedang mengalihkan balak yang ditebang menggunakan jengkaut, sebelum didatangi sembilan pegawai dan anggota JPNT selepas aktiviti mereka dihidu.

Pengarah JPNT, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, berkata sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai JPNT, seorang suspek yang memandu jengkaut berkenaan tiba-tiba bertindak agresif dengan menghayunkan ‘mata’ jentera berat itu ke arah pasukan serbuan.

Beliau berkata, akibat tindakan itu, pasukan serbuan terpaksa menyelamatkan diri bagi mengelak tercedera, namun seorang daripada mereka terjatuh apabila kakinya tersadung pada kayu di lokasi kejadian dan mengalami kecederaan.

“Berikutan tindakan suspek itu, keempat-empat ahli kumpulan sindiket pembalakan hutan berkenaan berjaya meloloskan diri, namun pasukan serbuan dapat merampas jentera berat berkenaan yang dianggarkan bernilai RM100,000 dan 16 batang kayu balak bernilai RM20,000.

“Anggota yang tercedera kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum satu laporan polis berhubung kejadian dibuat oleh pasukan serbuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

“Butiran diri suspek juga sudah disalurkan kepada pihak polis kerana ini bukan kali pertama dia terbabit dalam aktiviti pembalakan haram di daerah ini,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian daripada pihak JPNT dan operasi memburu suspek kini giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang,” katanya – berita harian