JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan bungkusan teh Cina sebagai taktik mengaburi mata pihak berkuasa bernilai RM1.2 juta, kelmarin.

Modus operandi sindiket itu dikesan polis menerusi empat serbuan yang dijalankan di Taman Mount Austin, Taman Johor Jaya dan Stulang Laut di sini, termasuk sebuah makmal mini antara jam 12 tengah hari hingga 3.30 petang.

Dalam semua serbuan itu, turut ditahan tujuh lelaki tempatan, lima lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang wanita Thailand dan Singapura yang semuanya berusia antara 19 hingga 65 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.2 juta dan menyita lima kenderaan serta barangan lain.

“Kita berjaya menahan 14 ahli sindiket dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk 12.8 kilogram (kg) dadah disyaki syabu; 4,333 pil ekstasi; 200 erimin 5 dan 0.95 kg dadah disyaki ketamin.

“Kita juga menyita lima kenderaan iaitu BMW, Toyota Altis, Kia Optima, Nissan X-trail dan Proton Wira selain merampas wang tunai RM5,800; wang tunai Dolar Singapura SGD8,000; empat jam tangan serta pelbagai jenis barang kemas,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan terbabit sejak awal tahun ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan Singapura.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek itu mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis amphetemine dan methamphetemine, manakala yang lain negatif.

Hasil semakan juga mendapati lima daripada 14 suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kejayaan menumpaskan sindiket ini adalah hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor dengan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman serta bantuan Pusat Biro Narkotik Singapura (CNB),” katanya.

Mohd Khalil berkata, semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Mac ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – berita harian