KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian untuk warga China yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi selepas menahan 118 individu dalam serbuan di Lorong Gurney, di sini, kelmarin.

Sindiket berkenaan menawarkan khidmat perjudian dalam talian untuk warga China dengan mengiklankannya di aplikasi Wechat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kumpulan berkenaan menjadikan negara ini sebagai pusat untuk mereka menjalankan operasi judi berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka menggunakan sistem pembayaran melalui Wechay Pay dan Ali Pay khas untuk pemain judi dari negara China.

“Pemain judi dari China yang ingin bermain judi akan menghubungi penganjur di Malaysia dan melakukan transaksi melalui aplikasi berkenaan.

“Sindiket yang beroperasi di negara ini kemudian memasukkan jumlah pertaruhan dan pemain di China akan bertaruh di dalam laman web,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, individu yang ditahan terdiri daripada 97 lelaki warga China dan 20 wanita warga China serta seorang lelaki warga tempatan.

“Suspek yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun bekerja sebagai pengurusan bagi urusan pertaruhan dalam talian.

“Mereka ini beroperasi di sebuah banglo mewah yang disewa dengan harga RM30,000 sebulan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi kerana hukuman di negara ini lebih ringan berbanding di negara mereka.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan, saya percaya antara faktor mereka menjadikan negara ini sebagai pusat operasi adalah disebabkan hukuman yang ringan.

“Polis sudah memaklumkan kejadian ini kepada pihak kedutaan China untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, dalam serbuan berkenaan polis merampas wang tunai RM30,000 dan 6,000 Yuan (RM3,617) ; dua set komputer; 118 komputer riba; 479 telefon pintar dan kelengkapan talian.

“Polis kini sedang memohon reman kedua terhadap kesemua suspek. Reman pertama tamat pada hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953,” katanya – berita harian