KUALA LUMPUR: Pemandu wanita kini menjadi sasaran lelaki ‘licik’ yang bijak mengatur strategi bagi membuat tuntutan wang menerusi insiden kemalangan palsu di jalan raya.

Dalam satu kes baharu yang dirujuk kepada Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, dia ditipu dan diminta membayar RM4,050 selepas terbabit dalam satu kemalangan.

Wanita berusia 40 tahun dari Negeri Sembilan itu berkata, insiden itu berlaku pada 14 Jun lalu berdekatan Hospital Gleneagle di Jalan Ampang, di mana seorang penunggang motosikal sengaja melanggar keretanya di bahagian belakang.

Sejurus itu, katanya, individu itu meminta bayaran berjumlah RM2,000 untuk ganti rugi dan RM350 bagi bil perubatannya.

“Saya dengar bunyi yang kuat di bahagian kiri kereta, selepas saya keluar daripada kenderaan itu, saya dituduh lelaki itu kerana melanggar motosikalnya.

“Lelaki itu menukar ceritanya seolah-olah saya yang bersalah dan diminta membayar ganti rugi dan bil perubatannya. Lelaki itu berjaya meyakinkan saya dan membuat saya membayar tuntutan itu.

“Namun, selepas kejadian itu, saya menerima satu mesej menerusi WhatsApp dari individu dikenali sebagai Amy yang memberitahu saya tuntutan ganti rugi secara keseluruhan adalah sebanyak RM3,800.

“Amy memberitahu baki tuntutan itu perlu dimasukkan ke dalam satu akaun bank. Selepas itu, dia berkata, Amy meminta tuntutan berjumlah RM2,000 dengan satu lagi alasan menyebabkan dia curiga.

“Apabila saya memaklumkan tidak mempunyai wang, mereka mengancam untuk mendedahkan gambar profil WhatsApp saya. Atas sebab itu saya datang ke sini (Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA) untuk mendapatkan bantuan,” katanya yang sudah membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata penipu zaman ini sangat kreatif, dengan menyasarkan wanita.

Beliau berkata, penipuan terbaru ini bagi mendapatkan wang daripada wanita yang lurus bendul.

“Sentiasa ingat prosedur susulan selepas terbabit dalam kemalangan, buat laporan polis dulu. Selebihnya boleh diuruskan kemudian.

“Jangan memberi sebarang persetujuan ketika kejadian kerana ketika itu anda tidak boleh berfikir secara rasional dan ia akan memberi kelebihan kepada penipu jalan raya,” katanya – berita harian