GEORGETOWN: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya merampas syabu bernilai RM5.6 juta dan menahan enam ahli sindiket dalam empat serbuan sekitar negeri ini dan Kedah, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata semua dadah dirampas itu seberat 92.6 kilogram dan dipercayai mahu diedar ke Sumatera, Indonesia.

Beliau berkata, dalam serbuan turut dilakukan bersama Jabatan Narkotik Pulau Pinang itu, seramai enam ahli sindiket membabitkan empat warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia 25 hingga 51 tahun ditahan.

“Dalam serbuan pertama di Teluk Bahang, kita merampas semua syabu yang disimpan dalam sebuah bot dan menahan seorang lelaki.

“Susulan rampasan itu, kita menahan lima lagi ahli sindiket terbabit dalam serbuan di Bayan Lepas dan Langkawi, Kedah,” katanya.

Mohmad berkata, pihaknya turut menyita wang tunai bernilai RM2.7 juta, lapan kenderaan, barang kemas dan jam tangan.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya dadah ini dibawa masuk ke negeri ini melalui jalan darat dan mereka kemudian menggunakan laluan laut untuk diseludup ke Indonesia,” katanya – berita harian