IPOH: Sindiket perkhidmatan seks oleh warga asing yang berselindung di sebalik sebuah hotel di sini akhirnya tumpas dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak pada Selasa lepas.

Dalam serbuan sekitar 2.30 petang itu, seramai 20 orang termasuk lima orang lelaki warganegara asing dan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga kepada pekerja seks ditahan di sebuah hotel tiga tingkat dekat sini.

Pengarah Imigresen Negeri, Kamaluddin Ismail berkata pihaknya turut menahan seramai 14 wanita terdiri daripada lapan warga Thailand, lima Indonesia dan seorang warga Laos yang bekerja sebagai GRO ketika pemeriksaan tersebut.

Menurut Kamaluddin, ketika serbuan tersebut pihaknya juga terpaksa membuka beberapa bilik secara paksa kerana terdapat pelanggan yang enggan memberikan kerjasama.

“Maklumat awal yang kami dapati, hotel ini antara sasaran bagi mereka yang menceburi bidang GRO.

“Kita jangka hotel ini memang salah satu tempat mereka mencari makan
sebab dari bukti kita jumpa, tangkapan bersama pelanggan…ini membuktikan mereka menjalankan kerja tak bermoral,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat, Kompleks KDN, Meru, di sini pada Rabu.

Jelasnya, ketika serbuan antara bukti perkhidmatan “tambahan” disediakan di hotel berkenaan adalah beberapa keping kondom di bilik-bilik yang diserbu bersama GRO dan pelanggan berkenaan.
Tambahnya, kesemua mereka disyaki sedang menjalankan aktiviti tidak bermoral dan akan disiasat dibawah peraturan 3(B) salah guna pas Seksyen 61C tanpa pas yang sah 15(1)(C) tinggal lebih masa manakala bagi rakyat Malaysia itu disiasat 56(1)(D) kerana melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Jelasnya lagi, pihaknya turut menahan tujuh lagi warga asing di dua lokasi berbeza dalam Ops Mega 2.0 yang melibatkan operasi gegar, operasi belanja dan jaja sehingga jam 7.30 petang semalam.

“Lokasi kedua adalah sebuah kedai runcit di Klebang dimana pihak Imigresen telah memeriksa enam orang dan menangkap sebanyak empat orang.

“Selain itu, tiga lagi ditangkap di lokasi ketiga iaitu sebuah gerai makan di Taman Rishah,”ujarnya lagi.

Menurut Kamaluddin, antara kesalahan bagi kesemua tujuh warga asing tersebut membabitkan kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa yang boleh dikenakan hukuman penjara,denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tambahnya, kesemua operasi tersebut dijalankan secara serentak hasil maklumat orang ramai dan risikan di mana mereka dipercayai telah bergiat aktif selama ini.

“Kesemua 27 PATI yang ditangkap, berusia di antara 21 tahun hingga 43 tahun dan pihak JIM Perak akan meneruskan operasi walaupun pada bulan Ramahdhan dan meminta orang ramai dan pihak tertentu tampil memberikan maklumat,”ujarnya lagi.

Menurutnya, setakat 1 Januari hingga 15 Mei ini sebanyak 230 operasi telah dilaksanakan pihak Imigresen negeri melibatkan tangkapan pati sebanyak 706 orang dan 23 majikan yang tediri daripada rakyat Malaysia bagi Negeri Perak.