BAGAN DATUK: “Orang yang menjadi petani dan penternak itu, adalah orang yang tidak ada sekolah”.

Demikian sindiran sinis rakan-rakan Zaikarnain Zainuddin, 30, kepadanya ketika dia mengambil keputusan untuk mengusahakan tanah milik orang tuanya di Kampung Sungai Dulang, di sini sejak 2007.

Namun, komen-komen negatif itu langsung tidak melunturkan niat lulusan Diploma Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, malah menjadi pembakar semangat untuk membantu kedua orang tuanya di samping menjana pendapatan.

Lebih mesra dikenali sebagai Nain, dia kini mampu menarik nafas lega kerana ejekkan enam tahun lalu itu telah mendorong Nain untuk berjaya dalam bidang pertanian dan penternakan apabila memperoleh purata pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Malah, dia kini sudah boleh berbangga dengan hasil ternakan ayam kampung sebanyak 500 ekor di dalam reban miliknya, di samping ternakan lembu sebanyak 11 ekor.

“Sebenarnya, saya mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri kerana sewaktu habis belajar, saya cuba memohon kerja di pelbagai agensi kerajaan, namun semuanya hampa.

“ Akhirnya, saya tekad mengerjakan tanah orang tua dan inilah hasilnya, walaupun tidak seberapa namun saya rasa ada hikmah di sebaliknya kegagalan mendapat kerja kerajaan dulu,” katanya sambil ketawa kecil ketika ditemui Suara Perak pada Jumaat.

Nain berkata, pendapatannya boleh mencecah sehingga RM6,000 ketika musim perayaan dan dia berasa amat gembira sekiranya dapat menurunkan ilmu pertanian itu kepada anak-anak muda yang berminat.

Dia mengakui, ketika mula menceburi bidang itu, dia pernah beberapa kali menemui kegagalan seperti perniagaan ayam kampung dan puyuh.

“Saya pun baru sahaja mula bertapak dalam bidang ini dan bercadang untuk memperluaskannya lagi, tetapi kepada mereka yang masih ragu-ragu saya pesan jangan mula patah semangat jika ada menyindir, atau memperlekehkan niat kita.

“Jadikan ia sebagai permulaan dan pembakar semangat, tanamkan azam, cari inisiatif seperti kerjasama dengan Jabatan Veterinar, bank dan jangan malu bertanya pada yang pakar, insya Allah akan berjaya,” katanya penuh semangat.