KUALA LUMPUR: Singapura menawarkan pengurangan sehingga 50 peratus daripada kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, perkara itu ditawarkan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan membatalkan projek HSR berikutan kekangan kewangan negara.

“Biarpun masih belum menerima cadangan tawaran itu secara rasmi, perkara itu membuktikan kos projek dimulakan kerajaan terdahulu itu terlalu tinggi iaitu sebanyak RM110 bilion.

“Ada yang menawarkan kita boleh potong (harga) sebanyak separuh daripada kos keseluruhan projek itu. Kita tidak tahu sama ada itu serius… (tetapi) ia bukti bahawa segalanya terlalu mahal dan akan menimbulkan banyak soalan,” katanya kepada The Straits Times, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan terbuka untuk meneruskan projek HSR itu jika harga dikenakan adalah berpatutan.

“Ada asas untuk melaksanakan projek ini, tetapi bukan pada kos yang terlalu tinggi,” katanya.

Singapura sebelum ini mendakwa, pihaknya terpaksa menanggung kos sedangkan Malaysia tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kedudukannya dalam projek berkenaan.

Dr Mahathir ketika ditanya mengenai rungutan Singapura itu berkata, republik berkenaan sepatutnya sudah tahu pendirian Malaysia walaupun tidak ada notis rasmi diberikan.

Apabila ditanya jika Malaysia mempunyai pelan berbeza, Guan Eng berkata, satu perbincangan khas akan diadakan dengan Singapura.

The Straits Times juga memetik sumber Kerajaan Malaysia sebagai berkata, kos pampasan untuk membatalkan projek HSR adalah lebih rendah daripada anggaran awal sebanyak RM500 juta, tidak termasuk kos yang sudah dibelanjakan.

Bagaimanapun, kerajaan berpendapat jika Singapura boleh menawarkan pinjaman mudah, ia akan menurunkan kos faedah secara drastik – berita harian