IPOH: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bercadang untuk menjadikan Kejohanan Ragbi National 7’s sebagai satu siri mulai tahun hadapan.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan tiga siri, termasuk satu di Perak.

“Dua lagi saya serahkan kepada rakan-rakan dari negeri-negeri lain yang sedia menjadi tuan rumah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kejohanan Ragbi National 7’s 2017 di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Sabtu.

Sebanyak 38 pasukan dari seluruh negara mengambil bahagian dalam kejohanan dua hari itu.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu Senior, Bawah 20 Tahun dan Wanita.

Shahrul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri berkata, National 7’s telah menjadi platform untuk melahirkan ramai pemain negara.

Beliau memberi contoh, pemain-pemain ragbi negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini juga bermula dari kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemain supaya turut berusaha sendiri untuk meningkatkan diri masing-masing, termasuk mengutamakan pendekatan sains sukan.

Sementara itu, pasukan Senior dan Bawah 20 Tahun Perak berjaya melangkah ke peringkat suku akhir cup esok apabila menduduki tangga kedua kumpulan masing-masing.

Pasukan Wanita pula yang menduduki ranking ketujuh daripada sembilan pasukan hanya akan bersaing dalam kategori bowl.