IPOH – Projek pembinaan sistem pengagihan gas asli di lembah Kinta bakal menjadi “game changer” bagi pertumbuhan industri setempat dan juga negeri secara amnya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, projek bernilai RM180 juta itu bakal mengubah lanskap pembangunan di daerah Kinta dan menarik lebih banyak pelaburan luar ke dalam negeri ini sebaik ianya siap pada suku keempat 2019.

“Ini juga selari dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk menyediakan prasarana terkini di kawasan sudah dibangunkan 30 hingga 40 tahun lalu dalam usaha menarik pelabur.

“Dari jangka masa panjang pula ia akan memberi kesan baik kepada pelan pembangunan Wilayah Perak Selatan (WPS) yang ketika ini sedang rancak dibangunkan khususnya di kawasan persisiran pantai Perak sehingga ke Bagan Datuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sistem Pengagihan Gas Asli di Lembah Kinta, di sini pada Khamis. Turut hadir dalam majlis itu, Menteri perdagangan antarabangsa dan industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Tambah Menteri Besar, projek melibatkan sambungan paip gas sepanjang 140km melibatkan Manjung, Perak Tengah dan Kinta itu turut akan merapatkan jurang perbezaan pertumbuhan industri yang berlaku ketika ini khususnya dari tengah sehingga ke selatan Perak.

“Dengan adanya peyambungan paip ini di Lembah Kinta ia dengan sendirinya jaluran itu akan dapat disambung ke selatan, ia akan dibekalkan satu hari nanti

“Kita harapkan semoga dengan adanya penyediaan paip gas asli ini akan rancakkan lagi pertumbuhan industri secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Sementara itu, Ka Chuan berkata, setakat ini sebanyak 44 syarikat telah bersetuju untuk mendapatkan perkhidmatan paip gas tersebut dan 13 lagi syarikat berpotensi mengikut jejak langkah yang sama.

“Dijangkakan jumlah syarikat yang akan mendapatkan perkhidmatan ini akan meningkat sebanyak dua kali ganda sebaik ianya siap.

“Ia sudah tentu akan menggalakkan lagi pembesaran pelaburan syarikat-syarikat sedia ada dan kemasukan pelaburan-pelaburan baru di sepanjang jajaran tersebut kerana pengurangan kos menjalankan perniagaan,” katanya dalam sidang media sama.

Projek pembinaan sistem pengagihan gas asli di lembah Kinta adalah inisiatif bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersama-sama syarikat Gas Malaysia Berhad.

Projek ini ditanggung bersama oleh ketiga-tiga pihak di mana kerajaan persekutuan melalui MITI menyumbang RM50 juta, kerajaan negeri RM10 juta dan syarikat Gas Malaysia Berhad RM120 juta.

Tempoh pembinaan projek akan mengambil masa 36 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2019, walaubagaimanapun, bekalan gas asli akan dapat mula diagihkan seawal suku pertama tahun 2019.

Rangkaian paip gas asli itu bermula dari Ayer Tawar sehingga ke Bercham bagi rangkaian utama dan dari Lahat ke Simpang Pulai untuk rangkaian sisian. Sepanjang 31km rangkaian paip telah pun siap setakat ini dari Ayer Tawar.