KUALA KANGSAR – Sistem pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan dedak atau rasuah politik seperti didakwa oleh pihak pembangkang sebaliknya beberapa negara luar turut memberi bantuan serupa dengan kaedah berbeza.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan yakin ia merupakan langkah terbaik untuk membantu dan berkongsi limpahan ekonomi negara bersama-sama rakyat.

“Mana negara pun ada sistem sendiri cuma dia tak panggil BR1M sahaja, Arab Saudi dimasukkan ke dalam akaun, Singapura masuk ke dalam akaun CPF dan di Amerika Syarikat diberi foodstamp.

“Kita beri tunai supaya kalau nak pergi pasaraya pun boleh, nak beli nasi lemak pun boleh nak ke pasar tani pun boleh dan nak buat apa pun boleh kerana ini di atas tangan sendiri, kita sebagai rakyat buat pilihan,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra dan kenduri rakyat di sini pada Rabu.

Menurut beliau lagi, melalui bantuan BR1M itu juga ia secara terus pergi ke “dapur” rakyat dan mereka mempunyai pilihan untuk membelanjakannya mengikut keperluan masing-maisng.

Pengerusi BN itu juga turut menghentam pihak pembangkang yang selama ini melabelkan pemberian bantuan itu sebagai dedak namun akhirnya menjadikan ia sebagai salah satu daripada manifesto mereka ekoran daripada keberkesanan sistem terbabit.

“Mula-mula kata ini dedak, dia (pembangkang) kata dedak macam ktia beri makanan kepada ayam dan itik, lepas itu dia kata ini rasuah nak beli undi.

“Tapi alih-alih manifesto pembangkang ada pula BR1M saya tengok, eh dah kutuk-kutuk tapi sebab ada pula? Sebab rakyat marah dihina (hanya kerana) menerima BR1M,” ujarnya.

BERITA BERKENAAN : Pencalonan Aziz Bari Strategi DAP Raih Sokongan Melayu

1/7