IPOH – Menyedari akan keperluan ‘one stop center’ dalam menyaring semua penerima jenis bantuan secara bersepadu bagi mengelakkan keciciran ataupun penindasan hak kepada mereka yang benar-benar layak, kerajaan negeri telah membangunkan Sistem e-Kasih untuk menangani masalah tersebut.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat YB Wong May Ing berkata sistem yang dibangunkan di bawah Pejabat Kemajuan Negeri merupakan satu Bank Data Kemiskinan Nasional yang diwujudkan sebagai satu pangkalan data bersepadu.

Bank data ini akan menjadi asas perancangan program kemiskinan di peringkat persekutuan dan negeri, katanya.

Beliau berkata ia juga bagi mengelakkan pertindihan program dan bantuan kemiskinan yang dilaksanakan oleh agensi-agensi pemberi bantuan.

 

“Ianya juga diwujudkan sebagai satu knowledge base mengenai program atau projek kemiskinan yang telah dilaksanakan sebagai rujukan.

 

“Sistem ini dapat membantu menganalisis maklumat dan pemetaan kemiskinan dalam bentuk jadual, carta atau Geographic Information System (GIS). Oleh yang demikian, Sistem e-Kasih ini dijadikan sebagai rujukan Pengkalan Data Isi Rumah Miskin di Malaysia dan Perak untuk agensi pemberi bantuan mengenalpasti Isi Rumah Miskin dan Miskin Tegar yang layak untuk diberikan bantuan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

 

May Ing berkata, bantuan disediakan oleh pelbagai jabatan dan agensi negeri dan persekutuan. Agensi pemberi bantuan mempunyai SOP dan kriteria masing-masing dalam menentukan bakal penerima.

 

“Bantuan disalurkan kepada golongan sasar berdasarkan keperluan dan kesesuaian penerima. Sebagai contoh, penerima bantuan di bawah Baitulmal adalah mereka yang telah menepati kadar had kifayah yang ditentukan.

Di samping itu, bantuan untuk warga tua di bawah Bantuan Orang Tua (BOT) Jabatan Kebajikan Masyarakat antara lainnya menetapkan umur minima 60 tahun ke atas bagi meluluskan bantuan saraan bulanan penerima.

 

“Begitu juga di bawah Program Azam Niaga dan Khidmat yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Azam Tani di bawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani  turut menyediakan pelbagai bantuan kepada ketua isi rumah yang berumur antara 18 hingga 55 tahun,” jelas beliau.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis itu berkata, selain daripada kriteria yang telah ditetapkan oleh agensi-agensi pemberi bantuan, pemilihan penerima bantuan turut dibincangkan dan diperhalusi didalam Mesyuarat Focus Individual Countdown (FIC) dan Mesyuarat Focus Group Daerah (FGD) yang turut dihadiri oleh agensi-agensi pemberi bantuan, penghulu dan pemimpin tempatan.

 

Kerajaan Negeri yakin, dengan mekanisme yang ada sekarang ini, isu pertindihan bantuan kepada individu dapat diminimakan dan dielakkan, tambah beliau.

 

Namun, beliau tidak menolak ada sesetengah kes memang memerlukan kelulusan satu atau dua jenis bantuan serentak kerana ianya tidak mencukupi.