TANJUNG MALIM: Kejayaan sistem pendidikan tinggi negara yang menyaksikan peningkatan dalam kedudukan ranking dunia, baru-baru ini, membuka mata negara-negara luar untuk berkolaborasi dengan Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kolaborasi terbaharu melibatkan Universiti Cambridge dan Newton Fund yang bakal menjalinkan kerjasama dengan negara dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Menurut beliau, Newton Fund yang dikenali sebagai sebuah organisasi penyelidikan terkemuka dunia telah menunjukkan minat untuk memberi ruang kepada pensyarah-pensyarah dari negara ini bagi melakukan penyelidikan melalui tabung itu.

“Banyak negara telah melihat Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dunia serta mengiktiraf peningkatan kualiti dan sistem pendidikan tinggi kita.

“Ini merupakan satu perkara yang baik dan perkembangan yang amat positif untuk kita,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Dialog Siswa Politeknik dan Industri Masa Depan Senario Malaysia di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang, dekat sini pada Khamis.

Hadir sama, timbalannya Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengarah PSAS, Zairon Mustapha.

Tambah Idris, perkembangan positif tersebut merupakan susulan daripada kejayaan beberapa buah universiti tempatan yang memperbaiki kedudukan mereka dan seterusnya meningkatkan ranking Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi dunia.

Dalam majlis itu, beliau juga menyampaikan Sijil Kolaborasi Industri (CoC) PSAS kepada lebih 40 industri dari seluruh Malaysia dan merasmikan bilik Teaching Enable Collaborative Classroom (TECC) yang berkonsepkan pembelajaran digital.