IPOH: Kerajaan akan merombak sistem pengambilan pekerja asing bagi menghapuskan monopoli pihak atau syarikat tertentu yang mengaut untung melampau hingga membebankan pekerja asing yang ingin bekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata pihaknya sedar terdapat masalah dalam proses pengambilan pekerja asing terutama membabitkan pihak ketiga atau orang tengah yang mengendalikan proses berkenaan.

Katanya, masalah itu menjadi semakin serius hingga menyebabkan kerajaan Nepal bertindak drastik menggantung penghantaran pekerja ke Malaysia yang akan memberi kesan buruk kepada negara dalam mendapatkan khidmat pekerja asing.

“Agak mengecewakan apabila mengetahui Nepal menggantung penghantaran pekerjanya dan sebenarnya kita sedang dalam proses merangka polisi bagaimana mengendali pengambilan pekerja asing dari negara pembekal.

“Selain Nepal, ia juga membabitkan Bangladesh, Kemboja, Indonesia dan negara lain yang kini semakin berat ingin menghantar rakyatnya untuk datang bekerja ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (OSH WEEK) 2018 di Malay-Sino Chemical Industries Sdn Bhd, di sini hari ini.

Kulasegaran berkata, kementeriannya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Nepal dalam tempoh dua minggu lalu, terbaru pada Selasa lalu.

“Saya juga sudah berjumpa dengan Pesuruhjaya Tinggi Nepal di Malaysia dan kami dalam usaha untuk menjalinkan memorandum persefahaman (MoU) yang baharu.

“Kertas kerja mengenai perkara ini sedang disediakan untuk dibentangkan kepada Kabinet pada minggu depan bagi mendapat kelulusan yang diperlukan, kemudian sama ada saya akan ke Nepal atau menterinya akan berkunjung ke Malaysia untuk menyelesaikan perkara ini segera,” katanya.

Kulasegaran turut menggesa kerajaan Nepal jangan terlampau menekan berhubung isu itu dan berharap pihak berkenaan dapat mempertimbang semula arahan penggantungan penghantaran pekerja ke Malaysia.

“Saya akan cuba menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Nepal, Isnin ini, bagi membincangkan lagi isu ini kerana seperti yang diketahui kebanyakan industri di Malaysia bergantung kepada pekerja asing.

“Namun, ada masalah dalam proses pengambilan pekerja asing membabitkan pihak ketiga yang membuat keuntungan melampau dalam proses itu.

“Sebagai contoh, yuran untuk proses visa pekerja Nepal hanya kira-kira AS$20 (RM80), namun difahamkan ribuan ringgit perlu dibayar untuk kos lain seperti pemeriksaan kesihatan dan sebagainya yang dikendalikan syarikat atau pihak tertentu saja, yang diluluskan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sedang meneliti perkara itu dan mencari mekanisme lain dalam mempermudahkan pengambilan pekerja asing termasuk mengembalikan sistem lama iaitu kerajaan dengan kerajaan (G to G) dan tiada lagi pihak ketika atau orang tengah.

“Sistem orang tengah sepatutnya tidak diperlukan, tiada alasan kenapa kita tidak boleh ambil pekerja ini secara terus dengan negara yang berkaitan, dan dengan ketiadaan orang tengah, peluang untuk berlaku rasuah juga kurang,” katanya – berita harian