KAMI penduduk Kampung Bukit Jana Tambahan, Kamunting ingin menarik perhatian mengenai masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik sehingga sering menyebabkan banjir kilat.
Masalah itu menyebabkan rumah penduduk pasti dinaiki air walaupun hujan lebat berlaku hanya satu atau dua jam.
Ada juga rumah penduduk yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, kini mengalami masalah yang sama memandangkan sistem perparitan yang tidak sempurna.
Walaupun tidak semua penduduk kampung terlibat dalam masalah itu, namun mangsa yang terlibat terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda.
Saya percaya, jika ada usaha bersungguh-sungguh untuk menaiktaraf sistem perparitan atau longkang di di kawasan ini, masalah tersebut akan mampu diselesaikan.
Ada juga penduduk yang terpaksa mengeluarkan wang untuk membuat simen penghadang air di pintu bagi mengelak air memasuki rumah.
Pada musim tengkujuh, penduduk terpaksa melapik perabot dan barangan berharga bagi mengelak ditenggelami air.
Kami menyedari ada segelintir penduduk yang gemar menimbunkan sampah di hadapan rumah sehingga ada yang jatuh bertaburan di dalam longkang.
Justeru, saya merayu kepada pihak berkuasa tempatan untuk melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan soal kerugian harga benda, tetapi juga keselamatan penduduk.
Pada masa sama, pihak berkuasa perlu turun padang untuk melihat sendiri masalah yang timbul dan bersama-sama penduduk mencari jalan penyelesaian.
ABDUL AZIZ SALIM,
Kamunting