IPOH: Sistem perparitan‎ yang tidak disenggara dengan baik dikatakan punca kejadian banjir kilat yang sering berlaku di Jalan Hospital berhadapan Angsana Mall Greentown di sini.

Warga kota terutama penduduk Flat Ashby berdekatan mahu Majlis Bandaraya Ipoh ‎bertindak segera mengatasi masalah sistem perparitan di kawasan itu supaya kejadian banjir kilat dapat dibendung. 

Banjir kilat itu telah menyebabkan kesesakan yang agak teruk sepanjang Jalan Hospital bermula dari Taman Dr Seenivasagam di Jalan Raja Musa Aziz sehingga ke bulatan persimpangan Jalan Brash/Raja Dihilir.

Rata-rata pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja tersangkut selama lebih sejam apabila kereta mereka tidak dapat meredah air.

Penghuni flat Ashby Noriah Jaafar,50, merupakan antara ratusan pengguna jalan raya yang tersangkut dalam banjir kilat itu.

Katanya banjir kilat itu menyebabkan pergerakan kenderaan agak kelam kabut sepanjang jalan.

Ketika kejadian, beliau dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

Noriah yang telah mendiami flat itu selama 1O tahun berkata sistem perparitan yang kurang diselenggara dengan baik di hadapan pasaraya itu merupakan punca utama yang menyumbang kepada kejadian tersebut.

Katanya air akan naik begitu cepat setiap kali hujan lebat, namun kejadian petang Rabu serius apabila paras air naik agak tinggi.

Katanya pergerakan lalu lintas hanya kembali lancar pada 6.30 petang setelah paras air surut sedikit demi sedikit.

“Memang selalu banjir kawasan ini… selalunya sampai paras betis. Ada kalanya agak tinggi sehingga kalau motosikal pun tak boleh lalu, apatah lagi kenderaan yang agak rendah.

“Saya harap ada pihak yang segera mengambil perhatian dan menguruskan perkara ini kerana kawasan banjir kilat ini terletak di kawasan paling sibuk antara hospital, flat Ashby serta pusat pentadbiran Greentown,”katanya kepada Suara Perak pada malam Rabu.

Beberapa keping gambar banjir kilat dan keadaan lalu lintas yang kelam kabut telah dimuat naik di laman sosial yang kemudiannya dikongsi netizen secara meluas.‎