IPOH: Kegagalan sistem saliran untuk menampung air hujan yang turun dengan lebat dikenal pasti punca berlakunya banjir di beberapa daerah di Perak ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, banjir yang melanda negeri ketika ini merupakan banjir kilat dan bukan seperti yang berlaku tahun 2014.

“Banyak orang ingat banjir itu disebabkan paras air Sungai Perak meningkat dan melimpah tapi sebenarnya tidak, ianya lebih kepada sistem saliran yang tak dapat menampung air hujan yang turun dari gunung.

“Hujan kali ini terlampau lebat dan kadang kala berterusan selama beberapa jam, jadi ini sebenarnya faktor berlakunya banjir,” katanya dalam sidang media bagi mewakili Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Ipoh pada Rabu.

Saarani memberitahu kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menangani bencana tersebut.

Katanya, beberapa agensi terlibat sepergi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) turut diminta untuk bersiap sediri memberi pertolongan sekiranya diperlukan.

“Saya juga telah mendapat berita sesetengah jabatan juga telah pun mendapat arahan bahawa cuti dibekukan, walaupun Tahun Baharu Cina.

“Kita juga sedang menunggu laporan teknikal daripada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) mengenai kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa lokasi, termasuk langkah penambahbaikan untuk saliran di kawasan terbabit,” jelas beliau.
Setakat pagi Rabu tadi, seramai 594 mangsa banjir masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sekitar lima daerah

di negeri ini.