IPOH: Seorang siswazah perubatan yang menghadapi dua pertuduhan merosakkan patung di dalam sebuah kuil dan memiliki senjata berbahaya di sini pada April dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin melepaskan dan membebaskan Munzir Nadzri, 29, daripada pertuduhan merosakkan patung kuil setelah berpuas hati tertuduh tidak waras ketika melakukan kesalahan tersebut.

Ikmal Hishan juga melepaskan tertuduh daripada disabitkan atas kesalahan memiliki senjata berbahaya kerana pemilikan senjata itu gagal dibuktikan kepunyaan tertuduh.

Beliau membuat keputusan itu setelah mahkamah meneliti semua hujahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Menurut Ikmal Hishan lagi pihak pembelaan telah berjaya membuktikan perbuatan merosakkan kuil oleh tertuduh adalah disebabkan atas imbangan kebarangkalian bahawa keadaan tertuduh tidak waras ketika melakukan perbuatan itu.

Katanya, hujah itu dikukuhkan lagi dengan kenyataan pakar psikiatri perubatan yang merawat tertuduh yang mengakui keadaan tidak waras tertuduh ketika melakukan perbuatan berkenaan selepas pemeriksaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Tun Mohamad Ammar Aziz.